Tuesday, February 23, 2010

Kadang-Kadang RM10.00, Kadang-Kadang RM20.00


Wajah-wajah ceria kaum ibu berbangsa kenyah di dalam gambar sebenarnya menyembunyikan seribu satu cerita. Mereka ini tinggal di kampung Long Bangan yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari bandar Bintulu. Namun tiga jam perjalanan itu bukanlah melalui jalan negeri yang berturap rapi tetapi melalui laluan balak dengan kelajuan maksimum 40km -60km sejam. Seandainya cuaca lembab atau hujan, keadaan akan menjadi bertambah teruk. Kawasan ini saya lawati pada 5 Februari 2010 yang lalu. Masih segar di dalam kepala saya bagaimana pacuan empat roda yang saya naiki hampir terbalik dek kerana cuaca hujan lebat. Nasib kami baik kerana kiri kanan jalan adalah bukit. Seandainya gaung, bermakna tidak berkesempatanlah untuk saya menulis dan berkongsi pengalaman di blog ini.
Kehadiran kami ke Kampung ini adalah untuk menyampaikan benih-benih pokok jarak percuma kepada penduduk kampung ini agar dapat mereka kembangkan ekonomi mereka.
Seperti biasa saya akan meramahkan diri bersama orang kampung menyelami apakah cabaran yang terpaksa mereka hadapi untuk meneruskan kehidupan. Melihat kepada hidangan yang mereka jamukan kepada kami untuk makan tengahari, terlintas untuk saya bertanyakan kepada mereka daripada mana mereka mendapat bahan-bahan tambahan masakan seperti bawang, ikan bilis, gula, garam, rempah ratus dan sebagainya.
Jawapannya adalah Bandar Bintulu.
Mengenangkan kesukaran perjalanan saya untuk ke kampung mereka, saya telah bertanyakan bagaimana mereka keluar ke pekan Bintulu. Kebiasaannya mereka akan ke bandar Bintulu dengan pancuan empat roda dengan tambang RM100.00 seorang. Tambang menggunakan bas ekpress 27 tempat duduk dari Shah Alam ke Johor Baru dengan menggunakan Lebuhraya pun hanya RM34.00 seperjalanan.
Hati saya menjadi sangat tersentuh dengan penerangan itu. Ini kerana pada awalnya bila di tanya berapa tambang yang perlu dibayar, mereka menjawab RM50.00. Lalu saya menyangka RM50.00 itu adalah harga untuk sebuah kereta rupanya sekepala. Jangkaan saya yang ianya untuk perjalanan pergi dan balik juga meleset bila dikatakan ianya untuk satu perjalanan.
Lebih menyedihkan pendapatan mereka hanyalah bergantung kepada hasil jualan sayur-sayuran yang memberikan hasil sangat minimum. Menurut mereka hasil yang mereka perolehi adalah "Kadang-kadang RM10.00 seminggu, kadang-kadang RM20.00 seminggu, kadang-kadang tidak punya langsung"... Waktu itu saya tidak mampu menahan sebak. Terfikir pada keadaan diri sendiri yang kadang-kadang makan satu hari pun melebihi RM20.00.
Walaubagaimanapun mereka tidak pernah patah semangat untuk terus berjuang, melawan kemiskinan untuk meneruskan kehidupan. Lalu bila hadirnya kami menghulurkan bukan kewangan atau makanan tetapi lebih beharga iaitu sumber ekonomi baru yang akan memberi mereka lebih sumber kewangan dan makanan yang berterusan.
Kawan-kawan budiman diluar sana, kami memerlukan keihklasan anda untuk menjadikan program ini terus hidup untuk direalisasikan bukan hanya di kampung Long Bangan tetapi keseluruh tanah air Malaysia yang tercinta ini. Oleh itu marilah menghulurkan tangan bersama-sama kami. Bagaimana caranya?. Hubungi saya di nughoi29@yahoo.com.my.
Wassallam.


No comments:

Post a Comment